Kejayaan sebenarnya bermula dari doa
Ia terbetik di jiwa yang mekar
Kemudian ranum dalam pautan ingin yang kental
Kejayaan ini bertitik dari puput angina harap
Ia menggaris di peta indah bernama hasrat
Lalu terukirlah gerak dan alun berwarna keyakinan
Memacu di terowong harap bernama pendakian
Pendakian ini meminta tumpu yang penuh
Kita kumpulkan setiap kekuatan
kita wajakan seluruh tenaga terdaya
Kita lontar jauh layu dan longlai semangat
Pendakian ini menuntut perancangan yang lengkap
Tidak mungkin dengan hanya mimpi dan kata
Jauh lagi kalau sekadar mengumpul jalur warna
Benar, berseri pelangi, tetapi dijangkau tak tercapai
Jika begitu, merangka laluan lebih bijaksana
Kita tahu manakah jalan bertaburan duri
Kita tahu manakah lorong kerikilnya menikam kaki
Kita pun tahu manakah taman bertebaran wangi
Bayangkan wangi dari sebuah taman yang permai
Taman itulah yang dinamakan kejayaan
Tetapi kejayaan semata belum tentu cukup bermakna
Bukankah perjuangan kita adalah untuk sebuah kecemerlangan
Aku ingin berdiri di tebing tinggi itu bernama kecemerlangan
Di mana aku dapat melihat keringat dan peluhku memberi erti
Di mana aku dapat merasakan jejak dan tumitku memancar seri
Di mana aku dapat menggenggam siang dan malam cekal meniti
Kecemerlangan semata namun belum cukup memahatkan bangga
Masih perlu kita menggandakan usaha memecah punca yang ada
Kita ungkai rahsia kecemerlangan di puncak tertinggi perjuangan
Sehingga tercecah setiap sentuhan dalam cengkam dan gapaian
Inilah erti sebenar dalam susun dan atur derap seorang remaja
Yang telah memancangkan janji dan ikrarnya di garis mula
Kesedaranlah yang membawa kita setapak ke setapak di ujana hidup ini
Dan, di hari ini segala yang terpateri di hati kami realisasikan di menara bukti
Oleh: Lim Swee Tin, Universiti Putra Malaysia.
Sumber: Majalah Dewan Siswa
No comments:
Post a Comment