Click here if you like the post! ^^

Thursday, January 22, 2009

Dalam Kembara Sekebun Bunga

Dalam resah rawan dan rusuh
Sering kali terbelenggu jenuh
Rungkaila nurani ke dalam kebun bunga ini
Bagaikan sudah terlalu lama dilupa
Wajah-wajah di sini masih segar menggugah jiwa

Wahai Tuhan Yang Maha Kaya
Dalam limpah Rahim-Mu
Yang tak pernah jemu
Ampunkan kealpaanku
Kerana hamper larut dalam kalut
Sehingga seakan terlupa
Bahawa Engkaulah Yang Maha Kaya
Mengurniakan warna seindah mutiara di perkebunan ini

Di sini bunga-bunga tetap merakam semarak warna
Tanpa jemu berhenti melorek seri
Seperti alpanya aku kepada-Mu
Akulah kerdil itu
Sering lalai dibuai nikmat
Ingat dan takutkan-Mu berpasang surut
Tidak mengambil iktibar di sudut diri

Betapa rona bunga ini tidak pudar
Biarpun berkali-kali musim berganti
Kau tukarkan peralihan musim semi ini
Dalam kudrat dan iradat hanya Engkau Yang Maha Tahu!
Rona-rona bunga tetap memancar semarak
Beradu dalam merah, jingga, putih, kuning, dan hijau
Inilah warna kehidupan perkebunan bungaku

Semoga aku juga terus merenungnya
Tatkala jiwa dihimpit pilu
Inilah nikmat warna pencetus ilham
Tetap teguh dalam lindungan-Mu
Meskipun gejolak iman yang turun dan naik
Kerana akulah makhluk kepunyaan-Mu!

Oleh: Aliyah Sijari
Sumber: Majalah Anis, April 2008

No comments:

Multi-styled Text Generator at TextSpace.net