Sekawan rerama
Terbang tinggi mencari madunya
Dikelopak bunga yang kini semakin hilang
Ditelan pembangunan kejam
Hutan-hutan batu
Sekawan rerama
Terbang lagi mencari dedaun pohon
Untuk dihinggapi membuat sarang
Namun segala ranting kehidupan
Rapuh tersungkur
Di kaki pembalakan haram
Manusia menelan segala kekayaan anugerah Tuhan
Sekawan rerama
Terbang lagi
Dengan tekad penghijrahan
Kerana daerah tercinta kini
Menggamit sepi
Tiada lagi nyanyian unggas
Mewarnai rimba harapan ini
Sekawan rerama
Tertanya-tanya kini
Ke mana harus pergi?
By: Nor Sa’diah Sahir
Source: Majalah Dewan Siswa, Jun 2007
No comments:
Post a Comment