Click here if you like the post! ^^

Showing posts with label Nationalism. Show all posts
Showing posts with label Nationalism. Show all posts

Friday, February 6, 2009

Anggun 50

Aku bernyanyi dari kalbu
Senandung bangsa yang syahdu
Nafas harum tanah airku
Aku hayati bisik sungai
Sayup lembah dan gunung damai
Lara-ria rakyat merdeka
Denyut sayang tanah bertuah

Kibar gemilang jalur ayu
Mengiringi nyanyian merdu
Peluh permata pemimpinku
Anugerah suci yang santun
Merdeka lima puluh tahun
Aku nyanyi lagu itu
Demi kebanggaan bangsaku

Deru angin dalam mencabar
Sergah taufan luar meliar
Dijinaki bangsa yang sabar
Itulah sejarah yang anggun
Merdeka lima puluh tahun
Digarapi seranum pantun
Pencapaian santun serumpun

Azam dari akar ke umbi
Tekad kudus rakyat berbudi
Dijajah, ya; kini merdeka!
Tulus dikhusyuk doa redha
Mewangi halaman sejarah
Dan dengan bahasa berhemah
Diperluhur maruah bangsa

Aku syahdukan lagu ini
Aku syahdukan lagu ini.

By: A. Samad Said (9-12, disember 2006)
Source: Majalah Dewan Siswa, April 2007

Thursday, February 5, 2009

Ufuk Melukis Umbra

Arena pertempuran memercik
lava darah yang membuak
derita perlindungan diabai insan
hanya denyutan nadi dikawal rapi
agar tidak terhenti hina

Si kecil merangkak
lemah longlai persis tenaga diserap raksasa durjana
huluran simpati didamba
meniti kekerasan kerikil kemelut medan perang
nyawa dan darah diburu infantri
keruntuhan iktisad misi penjarah tak bermata
walau ufuk merah melukis umbra
walau jutaan air mata mengalir lesu
dengkimu tetap tak berakhir di situ

Berdas peluru terlontar
menjamah setiap inci lapisan daging tak berdosa
jeritan demi jeritan
tangisan demi tangisan
kemanusian mati di hujung tembakan akhirnya
terperosok diri dicelahan lubang dunia

Teduh awan menyejuk dunia
teduh hati merenyuk nurani
menghadirkan gerimis duka
yang terbit di celahan langit nirmala
bisakah manisan merdeka dihidu
sebelum kelopak mata tertutup
disamping hentian denyutan nadi?

Merdeka dan kebebasan diperjuang
biar terkoyak kulit di tubuh ini
asal maruah tak tercalar hina
biar bara merdeka kunyalakan
biar penindas kupenggalkan
agar merdeka syumul di sini
kekal segala sacral kebahagiaan
dan ketenangan

Merdeka!

Definition:
umbra – bahagian baying yang sangat gelap
iktisad – ekonomi
infrantri – pasukan tentera berjalan kaki

By: Siti Fatimah Mohd. Said
Source: Majalah Dewan Siswa, September 2008

Tanah Airku

Menjangkau usia jubli emas ini
terlalu banyak yang kausembunyikan daripadaku
sebuah derita berair mata
juga segugus ingatan manis
kau himpunkan dalam perdu rawan hatimu

Usah kaupendam pahit manis masa lalu itu
kisahkan kepadaku meski berbaur sengsara
atau pernah bersalut luka

Tanah airku yang ranum
inilah rimba perkasihan yang damai
tempat kita mengukir cinta
sebuah perjalanan yang tak terturap
kerana hari ini dan esok
masih banyak denai kehidupan
yang bakal kita jejaki

Selamat ulang tahun tanah airku
akan kudamba masa lalu ke hati
dengan kekinian dan masa depan
yang abadi

Tanah airku
inilah sebungkus ikhlas daripadaku
buka dan tataplah
di dalamnya akan kau temui
jantung dan kalbu hatiku

By: Shamsudin Othman
Source: Majalah Dewan Siswa

Thursday, January 22, 2009

Mujahidah dari Bumi Jihad

Aku Wanita Mujahidah Sejati…
Yang tercipta dari tulang rusuk lelaki yang berjihad..
Bilakah khan datang seorang peminang menghampiriku mengajak tuk berjihad..
Kelak ku akan pergi mendampinginya di bumi Jihad..
Aku selalu siap dengan semua syarat yang diajukannya..
cinta Allah, Rasul dan Jihad Fisabilillah
Aku rela berkelana mengembara dengannya lindungi Dienullah
Ikhlas menyebarkan dakwah ke penjuru bumi Allah

Tak mungkin ku pilih dirimu..bila dunia lebih kau damba…
Terlupa kampung halaman, sanak saudara bahkan harta yang terpendam..
Hidup terasing apa adanya..asalkan di akhirat bahagia…
Bila aku setuju dan kaupun tidak meragukanku…
Bulat tekadku untuk menemanimu…

Aku Wanita mujahidah pilihan…
Yang mengalir di nadiku darah lelaki yang berjihad…
Bilakah khan datang menghampiriku seorang peminang yang penuh ketawadhu`an…
Kelak bersamanya kuarungi bahtera lautan jihad…
Andai tak siap bisa kau pilih…
Agar kelak batin, jiwa dan ragamu tak terusik,
terbebani dengan segala kemanjaanku, kegundahanku, kegelisahanku…
terlebih keluh kesahku…

Tak mungkin aku memilihmu…
bila yang fana lebih kau cinta…
Lupa akan kemilau dunia dan remangnya lampu kota…
lezatnya makanan dan lajunya makar durjana…
Sebab meninggalkan dakwah karena lebih mencintaimu…
dan menanggalkan pakaian taqwaku karena laranganmu…

Meniti jalan panjang di medan jihad…
Yang ada hanya darah dan airmata tertumpah…
serta debu yang beterbangan,
keringat luka dan kesyahidan pun terulang…
Jika masih ada ragu tertancap dihatimu…
Teguhkan `azzam`ku tuk lupa akan dirimu…

Aku wanita dari bumi Jihad…
Dengan sekeranjang semangat berangkat ke padang jihad…
Persiapkan bekal diri menanti pendamping hati, pelepas lelah serta kejenuhan…
tepiskan semua mimpi yang tak berarti…
Adakah yang siap mendamaikan Hati ??
Karena tak mungkin kulanjutkan perjalanan ini sendiri…
tanpa peneguh langkah kaki.. pendamping perjuangan…

Yang melepasku dengan selaksa do`a…
meraih syahid… tujuan utama…
Robbi… terdengar panggilanMu tuk meniti jalan ridhoMu…
Kuharapkan penolong dari hambaMu… menemani perjalanan ini…

Oleh: marwan hadid http://www.arrahmah.com/forum/viewthread/7/

Hantarkan Aku Kesana

Gejolak yang membuncah memenuhi dada ini…
Bersama asa yang rindu mendalam…
Dari hamba yang berlumur dosa dan kealpaan…
Berharap dapat bersua dengan-Mu…
Wahai Rabbul`alamiin…

Dengan taubat ku berharap…
Kuatkan jiwa ini mendatanginya…
Kokohkan langkah kaki ini menempuhnya…
Azzamkan niat ini dalam mencapainya…
Ikhlaskan hati ini menjalaninya…

Aku rindu…aku rindu…aku rindu…
Rindu berjumpa dengan-Mu dalam SYAHADAH…
Rindu bersua dengan-Mu dalam IMAN…
Rindu bersama-Mu dalam TAUHID…
Rindu indahnya hidup dalam naungan ridha-Mu…
Syari`at ISLAM…Daulah ISLAM…Khilafah ISLAM

Duhai Alloh yang tiada sekutu bagi-Mu…
Hantarkanlah kerinduanku ini…
Mudahkanlah…
Lapangkanlah…
Tuk raih cita-cita…
KEMULIAAN HIDUP DALAM ISLAM, ATAU
KESYAHIDAN DALAM PERJUANGAN

Aku berharap termasuk yang Kau hantarkan….
Ridhai dan kabulkanlah…
Amien ya Alloh, ya Rabbal`alamiin…

Oleh:Marwan Hadid http://www.arrahmah.com/forum/viewthread/5/

Sunday, January 18, 2009

Teman Seperjuangan

Wahai teman
kita bersama dalam suatu perjuangan
perjuangan kita belum selesai
dalam mencari kejayaan
demi kejayaan masa hadapan

Wahai teman
perjuangan kita kerana Tuhan
bukan untuk dipertonton
tetapi untuk kejayaan dunia dan akhirat
demi mencari keredhaan Tuhan pemberi rahmat

Wahai teman
apabila kita tiba di garisan penamat
tidak bermakna perjuangan telah tamat
teruskan hingga ke akhir hayat
insyallah diberkati dunia akhirat

Oleh: Eltiqaz

Monday, January 12, 2009

Belilah Barangan Buatan Malaysia

Puisi Ciptaan Sasterawan Negara Usman Awang

sekiranya kami rakyat negara ini berjanji
membeli barang buatan Malaysia
Bagaimana pula anda,
Para pemilik para pengarah para pengurus
Syarikat-syarikat pengeluar terbesar Malaysia
membeli dengan wang yang anda terima dari kami?

Kami rakyat bersetuju bahawa sekiranya Malaysia
ingin maju dan jaya, para pekerja kita
mendapat pekerjaan dengan gaji selesa
maka kami sendiri mesti membeli
dan menggunakan barang buatan negara kami
Ertinya rakyat jelata senantiasa perlu membayar
harga yang agak tinggi untuk mendapatkan
barangan yang kadangkala bermutu tidak tinggi.
Maka lebihan yang mesti kami bayar ini
membolehkan anda melonggokkan keuntungan besar
di samping memperoleh ganjaran yang juga besar.

Kami rakyat ingin pula mengetahui
Bagaimanakah anda membelanjakan dividen
dan pendapatan dari harga mahal
yang semuanya datang dari saku kami
yang membeli pengeluaran Syarikat anda?

Kami ingin bertanya pula
Adakah anda juga membeli barang buatan Malaysia?
Mari kita mulakan dengan pakaian yang anda pakai
Di manakah pakaian itu dijahit?
Dan pakaian dalam yang menyaluti
bahagian-bahagian penting dan sulit tubuh anda itu
anda beli di mana dan buatan mana? "
bagaimana dengan pakaian isteri anda?
Baju dan pakaian dalamnya yang tentu mahal itu
dari jenama apa dan buatan mana?

Bagaimana dengan rumah. anda?
Adakah kerusi meja itu hasil tangan tukang Malaysia?
Adakah jubin dan segala perkakas bilik air
dan tandas tempat anda melepas itu diimport?
Dan putera-putera anda, adakah mereka sedang menuntut
di sekolah rendah dan menengah di luar negeri?
Bercakap tentang negara kita yang indah ini
di manakah anda menghabiskan cuti bersama keluarga?
Tentang kekayaan pula, di manakah anda melabur?
Cerahlah masa depan anda!

Orang-orang seperti anda sangat mementingkan kesihatan
Adakah anda mendapat rawatan perubatan di luar negeri?
Adakah anda dan keluarga anda dirawat
dengan biaya Syarikat?
Apakah Syarikat anda menggunakan perkhidmatan
jurubina (arkitek) Malaysia atau jurubina asing,
dan jurubina tempatan sekadar untuk mendapatkan
tandatangan mereka saja?

Dan sebagai pelanggan berapakah jumlah
yang perlu anda bayar untuk peguam asing?
Mungkinkah anda begitu baik hati dan pemurah
dengan konsultan asing, tetapi begitu berkira
dan kedekut apabila anda mesti membayar konsultan
tempatan?

Pertanyaan lain yang amat dekat dengan hati nurani
saya sebagai penulis, ialah: Pemahkah anda membeli
dan membaca buku puisi, cerita pendek dan novel
yang ditulis oleh penulis Malaysia?
Adakah lukisan yang tergantung di dinding perbadanan,
syarikat dan rumah anda itu ciptaan pelukis
Malaysia atau salinan daripada pelukis-pelukis asing?
Bahasa apakah yang anda gunakan dalam pertuturan sehari-hari?

Pernahkah anda menghadiri teater tempatan
atau mendengar majlis pembacaan puisi
yang semuanya adalah buatan Malaysia?
Saya pasti Syarikat anda akan menyokong derma amal
jika ia ditaja oleh para Menteri dan Diplomat.

Anda pun cukup berjasa untuk membawa masuk
artis asing. Anda sanggup pula membayar
meskipun harganya ratusan ringgit bagi sesebuah
kerusi untuk menonton dan mendengar lagu-lagu
dalam bahasa Itali yang dinyanyikan oleh suara-suara
Amerika, meskipun anda ridak mengerti maknanya.

Begitu hebat, tetapi berapa pula yang telah anda
sumbangkan kepada artis tempatan? Berapa pula
kepada penerbitan drama tempatan yang kita namakan buatan Malaysia?
Sudah pasti kami memang membeli barang buatan Malaysia
Tetapi anda, anda sendiri bagaimana?
Adakah anda menyokong dan membeli barang buatan Malaysia
atau anda sebenarnya sekumpulan manusia asing
yang memiliki pasport Malaysia.

1984

Rujukan: DBP (1994). Puisi-puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sumber: http://insan-luarbiasa.blogspot.com
Multi-styled Text Generator at TextSpace.net