Click here if you like the post! ^^

Friday, February 6, 2009

Jangan Berduka Cikgu

Jangan berduka cikgu
Jika budi yang kautabur
Tiada siapa menyanjungnya
Cukuplah jika sesekali ada muridmu
Berasa terhutang kepadamu
Setiap kali bersua di majlis perjumpaan

Jangan bersedih cikgu
Jika jasa yang kau curah
Tiada siapa mengenangnya
Cukupla jika sesekali ada muridmu
Tiba-tiba bertanya khabarmu
Setiap kali sambutan Hari Guru

Jangan berhiba cikgu
Jika bakti yang kaucurah
Tiada siapa menghargainya
Cukupla jika sesekali ada muridmu
Terpanggil menziarahimu
Setiap kali berkunjung ke alma-mater

Jangan bermurung cikgu
Jika khidmat yang kau luhur
Tiada siapa mewar-warkan
Cukuplah jika sesekali ada muridmu
Mendoakan agar kau sejahtera
Setiap kali menghantar anak ke sekolah

Jangan terkilan cikgu
Jika tiada gelar menghias namamu
Cukuplah sekadar panggilan cikgu
Kekal terukur di plak perkhidmatan
Dibawa bersemadi ke liang lahad

Jangan menyesal cikgu
Jika kerjaya murnimu tiada glamour
Cukupla sekadar menjana pahala
Dari setiap ilmu yang kau ajar
Kini dialir muridmu di sungai kehidupan

Di usia senjamu cikgu
Berkunjunglah kelorong kenangan
Imbaulah suara, tinjaulah telatah
Murid-muridmu yang tulus mengucapkan,
“Terima kasih, cikgu!”
Pada setiap kali kelas berakhir
Sambil membariskan wajah mereka
Yang kini berjaya menjadi ‘orang’

Berbahagialah wahai cikgu
Sesekali menjadi guru
Jadilah guru untuk selama-lamanya

Source: Majalah Dewan Siswa, 2007

No comments:

Multi-styled Text Generator at TextSpace.net