Click here if you like the post! ^^

Monday, May 18, 2009

Merindui buku

Inilah denai jejak seni ke hati,
puncak fikir yang indah sekali,
tanpa himpunan ilmu di kalbu buku
kita tak sempat sampai ke mercu itu.

Di sini diri sentiasa di taman
menikmati unggas dan puspa menawan;
di sinilah vista buku saraf seni,
meranum akal mematang peribadi.

Kita wajar berpesta di kalbu buku
menghayati nikmatnya seindah syahdu
dalam tenang waktu khusyuk di pustaka
lebih cepat kita terasuh dewasa.

Buku adalah denyut nadi utama
penting bagi minda waras manusia;
dan buku juga gema fakir yang sakti,
nyaman dan mesranya sebuah simfoni.

Kita memupuk insan yang luhur budi
melalui tapisan hikmat berseni;
dan buku memang tasik aneka ilmu
yang perlu diselami sejujur kalbu.

Buku mengasuh diri sasa bersuara;
membaca menjadi jambatan bertuah
kita merindu buku dan ghairah baca
agar sentiasa canggih dan berhemah.

By: A Samad Said
7 Mac 2004
Dewan Sastera Ogos 2004 ms 50

No comments: